Monday, November 17, 2008

Anwar: Pakatan pertahan Islam dan hak istimewa Melayu

Ketiga-tiga parti anggota Pakatan Rakyat menerima kedudukan hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam sebagai agama persekutuan sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menurut beliau, isu berhubung perkara itu tidak perlu dirisaukan lagi kerana persefahaman mengenainya telah dibuat antara ketiga-tiga parti anggota Pakatan - PKR, DAP dan PAS.

Malah, tegas Anwar lagi, kenyataan bahawa kesemua pihak telah bersetuju mengenai perkara itu, telah dikeluarkan pada 8 September lalu.

Kenyataan tersebut atara lain menegaskan bahawa Pakatan sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan menjaminkan kebebasan mengamalkan agama lain, kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan mempertahan hak bahawa ibunda, kedudukan kedaulatan dan institusi Raja-raja Melayu serta kedudukan hak istimewa orang Melayu dan bumiputera, serta hak-hak semua kuam yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan prinsip-prinsip perlembagaan tersebut, Pakatan menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik perkauman sempit.

Oleh itu, tegas Anwar, tidak timbul lagi sebarang salahfaham mengenai isu yang membabitkan hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam.

Anwar menegaskan demikian dalam ucapannya di majlis perjumpaan khas dengan guru KAFA di Selangor di Shah Alam hari ini. Hadir sama ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Isu lain

Mengulas beberapa isu dalam kerajaan Pakatan, Anwar mengkritik media yang dikuasai Umno yang menurutnya membuat laporan "tidak berdasarkan akhlak, moral dan etika".

Beliau merujuk kepada laporan tentang kontroversi pelantikan Low Siew Mo sebagai pemangku pengurus Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), kenaikan sewaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor dan keputusan Kedah meningkatkan kuota perumahan untuk bumiputera.

Ketika diminta mengulas lanjut dalam sidang media kemudiannya Anwar bagaimana menjelaskan bahawa tidak semua media yang berbuat demikian, bahkan terdapat juga yang melaporkannya dengan betul.

Mengulas sama ada Selangor boleh mengembalikan pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah, beliau berkata:

"Ini polisi persekutuan, saya tidak rasa kita ada pilihan. Kita kena ikut kurikulum kebangsaan."

Beliau juga enggan mengulas cadangan pembubaran Majlis Peguam oleh Persatuan Peguam Muslim kerana didakwa bertindak seperti pembangkang dan sering mempersoalkan hak pribumi.

Semalam, Presidennya Tan Sri Abu Zahar Ujang dilaporkan kecewa dengan peranan badan itu sejak kebelakangan ini yang didakwanya, seolah-olah mencabar hak Melayu dan Islam.

Berita asal: Malaysiakini

S'gor cadang tubuh sekolah agama teknik dan vokasional




Kerajaan Selangor bercadang untuk menubuhkan sekolah agama teknik dan vokasional, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

selangor mb khalid ibrahim free water pc 110608 02Katanya sekolah agama teknik dan vokasional akan ditubuhkan segera bagi menampung pelajar mendapat pendidikan agama secara formal sehingga tingkatan lima.

Menurutnya, ia berikutan terdapat banyak permohonan untuk memasuki sekolah agama sedangkan tempatnya terhad.

Abdul Khalid menegaskan demikian ketika merasmikan perjumpaan khas guru-kuru kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa) negeri Selangor 2008 di Shah Alam pagi tadi. Hadir sama ialah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu ketika bercakap dalam sidang akhbar kemudiannya, beliau berkata, kerajaan negeri akan membincangkan cadangan itu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pihak swasta.

Menurutnya, rangka tindakan cadangan tersebut dijangka dapat disiapkan enam bulan lagi.

Sehubungan itu Abdul Khalid berharap, kerajaan pusat dapat menyediakkan pembiayaan memandangkan program itu memberi kebaikan kepada negara secara keseluruhannya.

Elaun Kafa dinaikkan

Sementara itu, Khalid turut diminta mengulas cadangan wakil rakyat PAS Pokok Sena, Mahfuz Omar supaya kerajaan negeri Pakatan Rakyat menggunakan tambang penerbangan kelas ekonomi bagi menjimatkan wang kerajaan.

Mengulas perkara itu, menteri besar berkata kerajaan Selangor tidak ada masalah untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun, katanya, bukan semua tambang kelas perniagaan lebih murah daripada kelas ekonomi.

"Kadang-kadang sama," kata Khalid.

Mengenai kemungkinan Selangor mengembalikan penggunaan bahasa Malaysia di di sekolah agama rakyat untuk mata pelajaran Sains dan Matemarik, beliau berkata: "Cara mengajarnya lebih penting, bukan bahasa."

Dalam ucapannya sebelum itu, beliau turut mengumumkan tambahan elaun kepada guru Kafa sebanyak RM261.70 - daripada RM738.30 kepada RM1,000.

Elaun penyelia Kafa juga dinaikkan RM338 - daripada RM1,112 kepada RM1,500.

Selain itu, kumpulan tersebut akan dilindungi Insurans Takaful mulai Januari 2009.