Wednesday, August 20, 2008

Kes Liwat: Mercun buatan sendiri

Malaysia digegarkan dengan satu letupan “sodomite stinking bomb”. “Aftermath” atau kesan gegaran dek letupan tersebut semakin meletup-letup di ruangan akhbar dan corong-corong media seumpama “mercun katak” di musim perayaan.

Yang menariknya “gegaran” ini telah menjemput “ilmuan Islam tanah air”, pengamal undang-undang, dan “ahli politik” untuk turut memberikan pandangan masing-masing mengenai “letupan” yang dibuat oleh si X tatkala yang si X tuduh sedang bersiap-siaga untuk berjuang dalam PRK yang semakin hampir.

Usah kita lihat dari sudut kes, pertuduhan, bela diri, bukti, dan “sensasi politik” terhadap perkara ini. Adalah lebih elok kita fahami falsafah undang-undang itu sendiri. Secara jelas “gegaran” ini melibatkan dua asas perundangan – Islam dan Konvensional.

Sumpah Syariat yang dibuat oleh si X “kununnya” adalah untuk membuktikan yang dia adalah benar atau bersih dari sudut agama Islam (tidak perlu saya siar-semula “script” angkat sumpah si X ini) dan pandangan (kepercayaan?) umat Melayu-Islam di negara ini. Apakah dari segi hukum atau undang-undang Islam itu sendiri, si X (daripada sumpah syariatnya) cuba memberi satu “verdict” bahawa yang si X tuduh sememangnya bersalah? Siapakah hakim yang mengadili kes si X ini sebenarnya?

Memanglah Allah s.w.t. itu hakim sebenar (Maha Adil) kita di dunia mahupun di akhirat kelak, tetapi di dalam perkara ini si X cuba menjadikan kita umat Islam di Malaysia sebagai hakim. Atas dasar apa dia buat begitu tatkala bukti dan saksi belum dibawa ke muka pengadilan?

Apakah dia mempermainkan hukum Islam itu sendiri? Apakah ini juga berupa “contempt of court” oleh si X yang mana kita sedia maklum yang perbicaraan di mahkamah (Konvensional) belum pun bermula?

Harus diingat, kes sudah disebut di mahkamah dan tidak harus ada perbicaraan sebelum perbicaraan bermula ataupun perbicaraan di luar mahkamah.

Pada pendapat saya, secara umumnya ramai masyarakat Islam di negara kita tidak terdedah kepada asas perundangan Islam itu sendiri, makanya terjadilah perkara seperti ini. Bahkan asas undang-undang Konvensional yang telah kita terima-pakai selama ini pun ramai yang tidak faham. Fahami falsafah kedua-dua undang-undang ini seperti berikut dan hubungkaitkan dengan kes si X ini:

Undang-undang Islam adalah lebih bersifat “pembelaan” terhadap tertuduh (yang dituduh) sebagaimana termaktub di dalam Syariat Islam.

Undang-undang Konvensional adalah lebih bersifat “membuktikan kesalahan” tertuduh (yang dituduh) mengikut “proceeding” mahkamah dan dibicarakan mengikut Akta, Ordinan, atau Enakmen yang telah digubal, diluluskan, diwartakan, dan diterima pakai oleh sesebuah negara itu sendiri.

Bukankah falsafah kedua-dua perundangan ini berbeza! Anda boleh rujuk mana-mana buku atau kitab mengenai asas perundangan Islam dan mungkin elok juga merujuk kepada MLS: Malaysian Legal System. Jadinya, dalam hal ehwal si X ini haruslah kita fahami maksud atau tujuan dibuatnya “sumpah” tersebut.

Apakah dia takut jika dibicarakan di mahkamah syariah kerana gagal mengemukakan 4 (empat) saksi makanya dia mengunakan atau mempermainkan Syariat Islam itu sendiri untuk menyatakan dia benar? Dan, apakah melalui pendekatan Islamnya itu si X cuba mempengaruhi keputusan mahkamah konvensional kemudian hari?

Biasanya yang dituduh akan lebih cenderung untuk berbuat perkara sebegini dan bukan pula yang menuduh. Mengapa si tertuduh tidak berbuat apa-apa? Apakah jika dibuat nanti diklasifikasikan sebagai “contempt of court” pula oleh mahkamah konvensional makanya tidak dibuat? Kalau dari segi perlaksanaan Mahkamah Syariah mungkinkah kerana tiada kes (gagal kemuka 4 saksi) makanya si tertuduh tidak melakukan sesuatu atas tindakan si X yang menuduh?

Yang nyatanya tidakkan secara “peribadi” si X ini adalah dibuat di luar proceeding kedua-dua mahkamah. Jadinya si X menggunakan pendekatan undang-undang yang mana? Apakah tujuan sebenar si X berbuat begitu (atau disuruh berbuat begitu) tatkala rakyat lebih tertumpu kepada si tertuduh di PRK-PP? Apakah “nawaitu” saudara seagama dengan kita ini?

Saya rasa “letupan” yang saya maksudkan di sini adalah “letupan” dari “mercun buatan sendiri” yang mana masyarakat kita sedia maklum di setiap kali musim raya selalunya “mencederakan” si pembuat atau pembakar mercun tersebut?

No comments: